Thursday, October 15, 2009

Rintahan seorang anak..

“Kurang ajar!” Bentak Kak Long seraya tangannya melayang lagi ke arah pipi anak sulungnya.
Mujur kali ini Ridzwan sempat mengelak. “Assalamualaikum.” “Angah…” Ridzwan berlari mendapatkan Mak Ngahnya.
“Angah, Ridzwan sakit dekat sini,” diletakkan telapak tangannya di dada.
“Tak apa. Angah ubatkan.” Aishah merangkul tubuh anak kecil itu ke dalam dakapannya. Ridzwan mula menangis teresak-esak. Matanya yang bulat meronakan kesedihan pilu. Suara tangisannya membisikkan rasa sayu.
“Kenapa ni kak?”
“Angah tanya la dia. Perangainya makin menjadi-jadi. Masuklah.”
“Tak apa la Kak. Saya nak ambil Si Kecil ni je. Tak balik rumah Abah lagi ni.”
“Jangan dimanjakan sangat dia tu. Ni begnya.”
“Ridzwan, cepat salam dengan Mama.” Ridzwan tetap tidak berganjak dari pangkuan Angahnya.

Bersoraklah syaitan yang telah merasuk jiwanya. Nyalaan nafsu amarahnya menyambar buat kesekian kali. Betapa kemarahan itu membawa fana. Apatah lagi kepada anak kecil yang seharusnya dibelai manja.
Pada ketika si ibu mencela anaknya, dia bahkan mencela dirinya sendiri. Bukankah dia yang bertanggungjawab mencorakkan anaknya itu menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani?

Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika seseorang manusia itu meninggal, maka amalnya sudah terputus. Kecuali daripada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kebaikan untuknya."
..........................................................................................................................................................................

“Kesian dia.” Aisyah mengelus lembut rambut Ridzwan. Ridzwan yang telah tertidur menggeliat kecil dalam pelukannya.
Yusuf memandang Ridzwan yang lena dalam pelukan isterinya. Yusuf tersenyum sendirian tatkala fikirannya melayang mencari wajah ceria Ridzwan di awal hari-hari perkahwinannya.

“Angah, cepat pakaikan baju! Pak Ngah ada ni. Ridzwan malu.”
“Ok, siap. Handsomenya Ridzwanku yang manis. Kamu duduk dengan Pak Ngah sekejap ye, Angah nak iron baju.” pinta Aisyah sambil mengemaskan bahagian kolar baju anak saudaranya itu.
Setelah selesai mengerjakan solat, Yusuf mengerling ke arah Ridzwan. “Kamu sepatutnya malu dengan Angah, bukan dengan Pak Ngah.” Ridzwan hanya tersengih-sengih malu. Langkahnya diatur mendekati Yusuf, “Pak Ngah pandai Arab? Bagusnya Pak Ngah baca tadi. Macam ada lagu-lagu.”
“Boleh la sikit-sikit. Ridzwan tahu baca Quran tak?” tanya Yusuf lembut.
“Tahu. Eh...Tak tahu. Ridzwan tak pandai baca terus, Tokwan baru ajar satu-satu.” Balasnya dengan kial anak manja.
“Angah kamu pandai Arab juga ye?” Yusuf meleretkan pertanyaan.
“Emm.” Ridzwan mengangguk. “Angah tahu baca tapi tak ada lagu-lagu macam Pak Ngah.”

Sedang Aisyah melangkah masuk ke dalam bilik, Yusuf bertanya mesra, “Kalau anak saudara kamu panggil ‘yang manis’, suami kamu nak panggil apa?” Ridzwan terpaku memandang Angahnya menanti jawapan.
“Sudah pangkatnya suami, kena panggil ‘suamiku yang baik’ la. Baru kamu ingat status kamu sebagai suami. Boleh?” Aishah menjawab lancar.
“Boleh, Isteriku.” Yusuf membalas dengan senyuman berbunga.
“Angah yang manis,” pintas Ridzwan. “Pak Ngah lupa ‘Yang Manis’.” Ridzwan menekankan sambil mencuit pipi Angahnya.

“Opps! Pak Ngah terlupa tambahan untuk Angah,” Yusuf menepuk-nepuk kepalanya. Telatahnya itu mengorak langkah ketawa Si Kecil Ridzwan.
Yusuf tersenyum sendirian saat imbauan senda tawa Ridzwan menjengah ingatan. Namun, senyumannya itu menghilang tatkala dia terpandang wajah mulus Ridzwan yang sugul.
...................................................................................................................................................................

“Ambilkan Angah dua biji bawang merah. Pilih yang cantik-cantik.” Aisyah mengarah dengan nada yang lembut.
“Bawang besar ke bawang kecil?”
“Ambil bawang yang sederhana besar dari bakul bawang besar.”
“Sederhana besar dari bakul bawang besar. Dua biji.” Ridzwan mengingat.
“Pandainya dia...” Aisyah memuji seraya menepuk-nepuk bahu Ridzwan.

Berasa bangga dipuji, Ridzwan tersenyum sipu lalu mengangkat kening tanda megah.
“Ridzwan, jom ikut Pak Ngah sembahyang subuh kat surau.” Suara Yusuf mematahkan tingkahnya Ridzwan.
“Ridzwan nak masak dengan Angah,” suaranya mendatar.
“Lelaki sebaiknya solat jemaah kat surau. Jom. Nanti balik, Ridzwan boleh tolong masak untuk makan tengah hari.” Jelas Yusuf kepada anak kecil itu.
“Ok. Angah masak yang sedap-sedap tau.” Pesan Ridzwan sambil melangkah pergi.

Sapaan kebanggaan masih lekat di hati. Senyuman di bibir masih mekar bersemi. Kali terakhir dia menolong Angahnya memasak, Ridzwan tersalah pilih bawang.
Disuruh ambil bawang merah, diambilnya bawang putih. Ringan tulang lagi menurut kata, Ridzwan senang bila diberi peluang menyediakan makanannya sendiri.

Pernah seketika dulu dia membantu Angahnya membuat kek coklat, dia menyimpan sepotong kek hingga berkulat kerana sayangkan kek tersebut. Lobak merah yang ditanamnya sendiri pula dijadikan teman tidur dan dimandikan setiap pagi. Betapa dia menghargai usahanya sendiri. ........................................................................................................................................................................

“Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumsalam. Lambatnya hari ni. Panjang ke kuliah subuh tadi?” Pertanyaan Aisyah dijawab dengan senyuman galak Si Ridzwan.

Aisyah kemudian mengerling suaminya meminta jawapan.

“Pak Ngah bawa pergi beli bunga untuk Angah.”
“Terima kasih.” Bibirnya mengukir senyuman. Lensa matanya menangkap wajah suaminya. “Makanan dah siap?” Tanya Ridzwan sambil mengusap-usap perutnya.
“Sudah. Pergi basuh tangan. Kita makan.”

Langkah Ridzwan terhenti di tengah-tengah ruang tamu, “Angah baru lap lantai ye. Kilat-kilat.” Aisyah hanya mengangguk. “Budak kecil juga yang perasan. Cantik kan lantai Aishah?” Aishah memandang tepat anak mata suaminya, “Kamu tak mahu puji isteri kamu ni?”
“Lap lantai untuk dipuji orang ke? Ikhlas ke tak tu buat kerja.” Yusuf berkata sinis.
Aisyah hanya tertawa kecil lalu menjeling manja ke arah suaminya sambil mencium bau bunga mawar.

“Apa maksud jelingan kamu tu?” Yusuf mengerutkan dahi, hairan dengan tingkah isterinya. “Tak ada apa-apa. Aisyah suka ada orang ingatkan.” Dia masih meracik jelingan.
Ridzwan yang dari tadi memerhatikan gelagat mereka tertawa manja.

Yusuf menggeleng-gelengkan kepala, “Mak saudara dan anak saudara, sama-sama pelik. Haih...” Tabir kebahagiaan berlabuh di hatinya pagi itu. Sudah lama dia tidak dicurahkan dengan suasana sebuah keluarga.
Di kampung, hatinya terkurung. Tok dan Tokwan masing-masing sibuk dengan persiapan untuk menunaikan haji. Pak Su pula sibuk memanjang bermain video game. Hanya adiknya yang berusia satu tahun setengah menjadi peneman setia.
.........................................................................................................................................................................

“Pak Ngah baca berita apa?”
“Ada baby kena buang. Mak dia buang dekat dengan tempat pembuangan sampah. Kesian dia...kena gigit dengan semut api.”
“Sakit..” Ridzwan berkial kesakitan,
“Sebab apa ramai Mama suka buang baby? Baby kan comel. Pastu lembut sangat.”

“Dah mak dia tak sayangkan anak, dia buang la.” Jelas Yusuf tanpa berdolak-dalih. “Muhammad Ridzwan, sini kejap sayang. Angah nak tanya sesuatu.” Aisyah menarik tangan Ridwan, memalingkan tubuh anak itu mengadapnya.
“Kenapa Mama marah Ridzwan semalam?” tanya Aisyah.
“Tak tahu.” Ridzwan menjungkit bahu, ”Mama kan memang suka marah Ridzwan.”

Aishah diam tidak berkata apa-apa, dia hanya merenung lembut mata Ridzwan mencari kejujuran.
Ridzwan menundukkan kepala lalu berkata, “Adik bayi tu, Ridzwan tak suka dia.” “Kenapa?”
“Ridzwan tak mahu jaga adik bayi. Ridzwan nak tengok kartun.
Tiap kali adik bayi menangis, Mama mesti suruh Ridzwan jaga. Kat rumah Tokwan pun Ridzwan yang jaga, kat rumah Abah pun Ridzwan jaga.”

“Mama buat apa waktu tu?”
“Mama buat kerja dengan komputer.”
“Sebab tu Ridzwan tak suka adik bayi ye? ” Aisyah mendapatkan kepastian.
“Angah nak tanya kamu, apa beza kamu dengan mak yang buang bayi tu?”

“Uhh?” Ridzwan menggaru kepala.
“Ridzwan tak suka adik bayi, mak yang buang anak tu pun tak suka bayi dia.” Aisyah sengaja menyakat.
“Ridzwan tak jahat macam tu. Ridzwan selalu jaga adik bayi. Mama yang tak suka anak dia. Sebab tu dia tak nak jaga.”
“Tak elok cakap macam tu kat Mama, Allah marah. Mama kerja, bukan dia saja tak nak jaga. Si Manis Angah faham kan?”

Ridzwan hanya mengangguk lemah. Mukanya masam mencuka. Jauh di sudut hati, dia tetap tidak berpuas hati dengan alasan Angahnya.

Yusuf berpesan, “Kalau Pak Ngah jadi Ridzwan, Pak Ngah akan pilih adik bayi daripada tengok kartun. Nanti, adik bayi sayangkan kita tapi kartun takkan sayangkan kita. Allah pun sayang, pahala pun dapat.”
Aisyah mengucup lembut dahi anak saudaranya itu menyusupkan secangkir ketenangan. “Sekarang, pergi petik cili padi. Kita masak sama-sama ye?”
Raut wajahnya berubah ceria. Kali ini dia mengangguk dengan penuh semangat.
“Boleh Ridzwan pilih nak masak apa?”
“Hari ini Angah yang pilih, esok giliran Ridzwan.”
“Baik! Ridzwan sayang Si Manis Angah.”
..........................................................................................................................................................................

Bulan purnama menyanggar langit malam. Bintang-bintang indah menghiasi tepian bulan. Ridzwan yang dari tadi bermonolog sendirian lari mendapatkan Pak Ngahnya,
“Pak Ngah, hari ni bulan bulat macam huruf ‘O’ . Cantik. Jom la tengok.”
Yusuf mengikut saja rentak si anak kecil itu. Dia mendukung Ridzwan ke luar dan diletakkan di sebelahnya di atas buaian.
Ridzwan menoleh ke arah Yusuf lalu memanjat ke atas ribanya. Dia kemudiannya tersenyum sendirian.

“Si Bintang kelip-kelip, siapa yang mencipta kamu? Tuhanku dan Tuhanmu, Allah.”
“Siapa yang ajar Ridzwan cakap macam tu? Abah?”
“Tak. Tok Imam dalam TV.” “Pak Ngah...peluk Ridzwan. Malam ni Ridzwan tidur macam ni ye.”

Yusuf tersentuh dek kata-kata Ridzwan. Tiba-tiba hadir suatu perasaan yang membuatkan dadanya sesak menahan hiba. Dia menggenggam kemas jari-jemari Ridzwan. Fikirannnya menghilang dalam cahaya bulan yang menerangi kegelapan malam. .............................................................................................................................................................................

“Isteriku Aisyah,” panggil Yusuf dengan nada yang lembut,
“Kalau suami kamu suruh berhenti kerja lepas lahirkan anak sulung, apa pendapatmu?”
“Bukankah seorang suami berhak ke atas isterinya?
Tapi atas sebab apa Aisyah perlu berhenti kerja?”

“Anak itu amanah Allah. Amanah yang diberikan kepada ibu bapa, bukan kepada pengasuh. Tengoklah Ridzwan tu. Kasihan dia. Asyik minta dipeluk, dicium.”
Sungguh apa yang dikatakan oleh Yusuf turut ligat bermain dalam fikiran isterinya.

Jika anak-anak diasuh oleh orang lain, apakah pengasuh itu akan memperdengarkan untaian zikir kepada Allah dan selawat kepada Nabi-Nya? Adakah anak itu akan diajar tentang kalimat tauhid dan menyemai perasaan cinta terhadap Islam? Bagaimana pula dengan didikan akhlak dan adab anaknya?

Memorinya menyentap tingkah laku anak-anak kepada sepupu-sepupunya. Ada yang nakal dan tidak bertata susila. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila bertandang ke rumah orang, habis kerusi meja dipanjat, pasu bunga ditendang pecah, almari diselongkar dan bergaduh sesama sendiri. Ada pula yang tidak menjaga tutur kata dan suka bercakap lucah. Kebanyakan mereka masih di tadika, tetapi bercakap kasar kepada orang yang lebih tua.
Sufian, umurnya baru sahaja menjangkau tujuh tahun namun petah benar berbicara tentang ‘malam pertama’ secara terperinci.

“Kamu sanggup korbankan ijazah?”
“Ada ke orang korbankan ilmu?
Aisyah ikhlas belajar untuk mencari ilmu, tengah belajar dan akan belajar.
Nanti kamu anugerahkan title PhD ye?”

Semua manusia rugi kecuali orang berilmu, semua orang berilmu rugi kecuali beramal, semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas.

P/S: Semoga artikel ini menjadi iktibar yang berguna kepada diri ana dan juga antum semua. Sekadar ingin berkongsi pendapat, sebenarnya segala permasalahan sosial yang kian meruncing sekarang ini bermula dari rumah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibu bapalah yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Wallahua'lam ...

No comments:

Post a Comment